Cari pelabur ternak Kelisa
MyMetro Khamis 19 Jan 2012
http://www.hmetro.com.my/articles/CaripelaburternakKelisa/Article
KEUNTUNGAN lumayan yang dijanjikan hasil penternakan ikan hiasan spesies Kelisa (Arowana) memberi idea kepada seorang ahli perniagaan, Sohibul Anwar Arba'e, 40, menceburi bidang itu melalui pelaburan kewangan daripada beberapa artis terkenal tanah air.
Difahamkan perniagaan menternak ikan hiasan di Bukit Merah, Kerian, Perak, menarik minat golongan artis melalui konsep 'Celebrity Crossback Arowana Farm'.
Beliau berkata, bidang penternakan itu semakin mendapat perhatian masyarakat apatah lagi keuntungan daripada jualan ikan itu boleh mencecah jutaan ringgit.
Dia yang sebelum ini bekerja dengan syarikat swasta mengambil keputusan mengusahakan sendiri industri selepas melihat potensinya di masa depan.
"Pada tahun 2006, kawasan ini hanya ada 500 kolam menternak ikan Kelisa tetapi jumlahnya meningkat kepada 6,000 kolam sehingga kini. "Saya mempunyai 52 kolam ternakan ikan Kelisa dan kami ada rancangan untuk menambah kepada 68 kolam di masa depan," katanya.
Beliau membelanjakan kira-kira RM2.5 juta termasuk harga tanah selain mengupah beberapa pekerja tempatan untuk menyelenggara kolam terbabit.
"Apa yang saya lihat, setiap pengusaha kolam Kelisa menggunakan konsep pemasaran berbeza bagi menarik pelabur di dalam dan luar negara.
"Ini mencetus idea untuk memperkenalkan konsep Celebrity Crossback Arowana Farm," katanya.
Katanya, tujuan konsep itu bagi memberi peluang golongan artis tempatan melabur dalam industri ternakan ikan hiasan Kelisa yang mampu menjana keuntungan lumayan.
Menurutnya, setakat ini beberapa artis terkenal bersetuju melabur dalam industri itu selepas yakin dengan konsep yang diperkenalkan.
Beliau merancang memasukkan induk ikan Kelisa Emas Malaysia dan induk jenis Kelisa Highback yang berusia tiga tahun dalam kolamnya.
"Setiap kolam mempunyai jumlah 20 ekor induk dengan nisbah 40 peratus induk jantan dan 60 peratus induk betina. Induk matang didapati daripada penternak lama dan diimport dari Thailand.
"Setiap induk ikan Kelisa Emas Malaysia boleh bertelur antara 20 hingga 60 biji dan dapat hidup di antara 30 hingga 50 tahun," katanya.
Katanya, pelabur boleh mendapat keuntungan apabila induk Kelisa Emas Malaysia bertelur dan menetas anak sekali atau dua kali setahun.
"Bagaimanapun saya memerlukan modal RM17 juta bagi memenuhkan semua 52 kolam terbabit dengan 20 induk ikan Kelisa Emas berikutan harga ikan tersebut melambung tinggi di pasaran.
"Jika ada yang berminat untuk melabur, ia adalah harta yang boleh diwarisi anak-anak.
"Bagaimanapun, anda perlu mendapat maklumat lengkap mengenai industri ternakan itu supaya faham dan tidak timbul masalah di masa depan," katanya.
Menurutnya, setiap induk ikan Kelisa Emas Malaysia yang dimiliki pelabur akan disuntik dengan nombor cip pengenalan bagi memudahkan untuk dikenal pasti.
Katanya ikan Kelisa Emas Malaysia mendapat permintaan tinggi di China, Hong Kong, Taiwan, Korea, Singapura dan Jepun.
"Ikan Kelisa Emas Malaysia dari Tasik Bukit Merah, Perak adalah yang terbaik dan seekor anaknya yang berukuran dua hingga tiga inci boleh dijual di antara RM1,600 hingga RM2,500 seekor.
Sohibul yang juga Setiausaha Persatuan Penternak Arowana Malaysia Utara berkata, sehingga kini hanya tiga negara yang terbukti diternak ikan Kelisa secara komersial iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.
Jika mahukan maklumat lanjut mengenai industri ikan Kelisa, hubungi talian 012-5578577 atau 012-5976598.